Persediaan Mencapai Cita-cita

Cita-cita amatlah diperlukan dalam jiwa setiap insan di duniawi ini. Tanpa cita-cita, manusia tersebut adalah ibarat sebuah kapal yang sedang belayar tanpa arah tujuan. Cita-cita seseorang sentiasa terpendam dalam hatinya sejak di bangku sekolah, misalnya untuk menjadi seorang pramugari, juruterbang, doktor, dan sebagainya. Hakikatnya, cita-cita manusia sentiasa berubah mengikut peredaran masa dan waktu atas pelbagai faktor, seperti tahap kematangan, minat, dan kemahiran yang dimiliki. Begitu juga dengan saya yang pernah bercita-cita untuk menjadi penulis, guru, atau pengatur cara komputer.Namun, setelah saya mempertimbangkan bakat dan minat saya, saya meletakkan nekad untuk menjadi seorang usahawan, dalam bidang perhotelan pada masa kelak. Hal ini kerana, saya amat kagum dengan kepesatan sektor perhotelan negara yang merupakan penggerak ekonomi dalam sektor pelancongan negara. Kemajuan ini jelas dilihat dalam pembinaan hotel yang banyak di tanah air dewasa ini, persis kata pepatah, “bagai cendawan tumbuh selepas hujan”.

Walau bagaimanapun, saya sedar bahawa “hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih”. Oleh itu, sebagai langkah pertama untuk merealisasikan impian saya, saya perlu memilih mata pelajaran yang relevan di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia ataupun lebih dikenali dengan akronim SPM. Antara subjek yang perlu saya peroleh kecemerlangan ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Ekonomi Asas, Prinsip Perakaunan, dan Perdagangan. Pada masa ynag sama, kemahiran berkomunikasi dalam pelbagai bahasa merupakan batu loncatan kepada saya dalam bidang ini. Oleh hal yang demikian, saya akan mempelajari bahasa asing seperti Bahasa Jepun, Bahasa Sepanyol, dan Bahasa Jerman, di sampong memperkasa kemahiran saya dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, dan Bahasa Cina. Dengan cara ini, saya dapat berinteraksi dengan pelancong dari seluruh pelosok dunia dengan mudah, sekaligus mempromosikan Malaysia di peringkat antarabangsa sebagai duta kecil tanah air.

Selain itu, saya akan berusaha memperoleh pengalaman untuk memperoleh kemahiran asas dalam industri perhotelan dengan bekerja sambilan di rangkaian hotel-hotel tersohor, seperti Hotel Flemington, Hotel SSL Traders, dan Hotel Seri Malaysia. Bak kata mutiara, “jauh berjalan, luas pengalaman”. Saya akan memanaatkan masa cuti sekolah akhir tahun dan masa selepas SPM dengan bekerja sebagai juruwang atau pelayan di hotel-hotel tersebut. Hal ini adalah keranan saya sedar bahawa ‘perjalanan beribu-ribu batu bermula dengan langkah pertama”. Pengalaman kerja yang ditimba ini akan berfungsi sebagai persediaan dari segi mental dan fizikal kepada saya demi mencapai cita-cita saya. Hal ini adalah kerana saya telah mengetahui selok-belok dalam bidang ini dan lebih yakin untuk menempa kecemerlangan dalam bidang ini.

Langkah saya yang seterusnya ialah melanjutkan pelajaran dalam bidang perhotelan di peringkat menara gading dalam negara ataupun di luar negara. Antara institusi pengajian tinggi yang menawarkan bidang perhotelan ialah kolej Pelancongan ATIC, Univesiti Sunway, dan Universiti Kebangsaan Malaysia. saya akan cuba mendapatkan tempat di universiti tersebut demi mempersiapsiagakan diri dengan ilmu dalam bidang perhotlan. Saya juga percaya bahawa institusi pengajian tempatan mampu melahirkan bakal usahawan yang berkaliber dan berkualiti, serta mempunyai kemudahan pendidikan yang setaraf dengan universiti-universiti di luar negara. Persis kata mutiara, “berdiri sama tinggi, duduk sama rendah”. Saya akan menimba sedalam ilmu yang mungkin dalam bidang ini agar dapat mengadakan francais perhotelan bertaraf antarabangsa sendiri yang masyhur sehingga dapat membuka mata di duni tentang kehebatan Malaysia dalam sektor pelancongan. Dalam pada itu, saya akan menyambung pelajaran ke peringkat Doktor Falsafah supaya dapat menimba lebih banyak ilmu tentang ilmu perhotelan dan meluaskan horizon pemikiran. Saya turut berharap agar dapat diiktiraf oleh dunia sebagai seorang usahawan wanita yang berjaya dan disegani.

Seyogianya, saya akan mengikuti kursus keusahawanan yang dianjurkan oleh pihak swasta untuk memotivasikan dii agar dapat menempa kejayaan yang lebih besar dalam bidang ini. antara kursus yang dapat saya ikuti ialah Kursus Usahawan Berjaya dan Kursus Langkah Awal menjadi Jutawan. Saya berpeluang bertukar-tukar fikiran dengan rakan-rakan seperjuangan melalui kursus tersebut agar memudahkan diri untuk merangka strategi bagi mengembangkan perniagaan saya. Pada masa yang sama, saya dapat mempelajari cara-cara menarik pelancong asing ke hotel saya dan bentuk perkhidmatan yang terbaik. Bagi mengorak langkah pertama saya untuk menguruskan hotel sendiri, saya akan berusaha mendapatkan bantuan modal dari pelbagai institusi kewangan. Saya akan memulakan rangkaian hotel saya secara kecil-kecilan kerana bidang ini menelan modal yang besar. Saya turut akan memastikan bahawa hotel saya menawarkan perkhidmatan kelas pertama. Selain daripada menyediakan bilik-bilik penginapan yang dilengkapi dengan perabot yang bermutu dan selesa, saya juga akan melengkapkan hotel saya dengan pelbagai prasarana seperti kolam renang, bilik gim, dan perkhidmatan spa. Saya turut akan menggaji tukang masak yang hebat untuk menyediakan makanan yang bervariasi dan menyelerakan demi kepuasan para penginap. Walau bagaimanapun, saya akan mengamalkan konsep mesra alam di hotel saya dengan memasang peralatan elektrik yang menjimatkan penggunaan elektrik. Selain daripada menjimatkan kos, saya juga dapat membantu melestarikan alam sekitar. Saya turut akan mempromosikan rangkaian hotel saya di program-program pelancongan antarabangsa, seperti Pesta MATTA. Setinggi-tinggi cita-cita yang saya dukung tidak akan tercapai tanpa usaha yang berterusan dan sikap peramah dan dedikasi terhadap kerjaya saya. Oleh tiu, saya harus mencurahkan uaha dan daya inisiatif yang utuh demi merealisasikan cita-cita saya. Bak kata mutiara, “yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang”. Saya tidak akan melengah-lengahkan masa untuk berusaha demi mencapai bintang. Bak kata pepatah, “kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya?” Saya percaya saya dapat melakukannya!

Oleh : Sharon Ng Huey Yuek

Leave a comment